01 January 2021 (Jumaat)
Aktiviti pertama di tahun baru 2021 - kami pergi memancing di Kolam Pancing RM3 Jugra. Hanya satu jam memandu dari Bangi untuk ke Banting ikut SKVE. MamiZ sangat suka memancing tapi sayang anaknya tak ada minat yang sama. Lama MamiZ sebut nak pergi memancing tapi asyik tak jadi. Entah macam mana aku teringat satu gambar yang dikongsikan oleh seorang teman di Instagram tentang Kolam Pancing RM3 Jugra - nampak kemas dan menarik. Terus tanya kawan extra info dan research sikit tengok posts di Facebook Page Kolam Pancing RM3 Jugra. Aku call tanya tentang umpan dan kemudahan-kemudahan yang disediakan. - ada tandas, cafe dan surau. Perkhidmatan siang ikan pun ada.. First time nak pergi tak tahu rupa tempat macam mana jadi tanya dulu untuk kepastian. Ramai bagi feedback yang positive jadi aku terus bagitahu MamiZ. Excited sangat mak akuuu nak pergi memancing siap check joran check tali dan tools lain yang diperlukan. Aku tak teruja sangat sebab tak minat tapi nak teman duduk tunggu dua tiga jam okay saja boleh sangat. Kalau bosan aku plan nak tidur dalam kereta. Hihihi..
Kolam Pancing RM3 Jugra beroperasi seawal 08:00AM sampai pukul 07:00PM setiap hari Isnin - Ahad. Selepas pukul 07:00PM pun buka juga tapi bayaran harga lain pula. Pukul 07:30AM kami gerak, singgah beli sarapan buat bekal di kolam pancing dan lebih kurang pukul 09:00AM sampai. Peeergh !! Dah ramai orang.. Ingatkan kami antara yang dah awal rupanya ramai lagi cepat sampai. Cuaca mendung kelam matahari segan nak keluar. Nyaman memancing suhu sejuk.
KOLAM PANCING RM3 JUGRA
Kenapa nama tempat ni Kolam Pancing RM3 ? Kenapa RM3 ? Murah sangat ni.. Memang murah dan sangat berbaloi. Selalu aku jumpa kolam pancing charge bayaran ikut jam tapi di Kolam Pancing RM3 Jugra ni.. kita bayar harga RM3 untuk setiap batang joran yang kita bawa. Umpan udang hidup dan ikan juga disediakan kalau tak sempat nak cari umpan sendiri. Yang lagi aku suka, ikan-ikan di Kolam Pancing RM3 Jugra semuanya ikan air masin seperti Siakap, Kaci (Siakap Merah), Jenahak dan Kerapu. Walaupun MamiZ suka memancing, kalau dapat ikan air tawar atau ikan sungai bukan makan pun.. Jadi elok pergi pancing ikan air masin atau ikan air laut. Baru puas hati dapat ikan dan boleh makan.
Lapor diri check suhu bayar harga joran dan beli umpan.
Tak cukup cash ? Online transfer pun boleh..
Jenis-jenis ikan yang available dan harga per kilo.. Siakap paling murah.
Cuaca tenang di pagi hari 01 January 2021. Pagi tahun baru..
Pukul 09:00AM manusia dah ramai..
MamiZ dan AbangR (sepupu) sedang get ready. Ni kolam ikan Kaci..
Brother baju biru tu dah dua ekor Kaci dia dapat.. Rezeki.
Setia menunggu umpan dimakan ikan..
Semestinya hanya berpura-pura saja memancing demi gambar..
Gaya kena ada..
TIADA REZEKI DI HARI PERTAMA TAHUN BARU 2021
Empat jam menunggu seekor ikan pun tak makan umpan yang MamiZ dan AbangR letak. Selepas dua jam aku surrender menunggu, memang duduk dalam kereta dengar lagu dan tidur. Bukan aku seorang yang tidur dalam kereta, ramai lagi isteri-isteri brothers yang memancing tunggu dalam kereta juga. Bosan sangat - joran pun ada dua saja. Habis aku interview brothers yang semua dapat ikan sambil tunggu MamiZ dan AbangR pula dapat. Itulah namanya rezeki adalah percaturan Allah SWT. Kalau Dia kata tak dapat.. Maka tak dapatlah ikan. Berlalu pulang dengan perasaan hampa tapi sebenarnya dapat banyak ilmu daripada pemancing-pemancing lain disana. Diorang ajar tips dan tricks untuk tackle ikan-ikan air masin. Ikut hati MamiZ memang nak tunggu sampai petang aku rasa.. tapi kami kena balik sebab nak tolong uruskan hal-hal majlis pernikahan sepupu aku esok harinya. Kami lari sekejap pergi memancing janji tengah hari akan balik rumah.
MamiZ tak puas hati balik dengan tangan kosong..
Katanya nak pergi lagi tapi tak sangka 'pergi lagi' tu adalah dua hari berikutnya..
TUKAR TALI JORAN DAN MATA KAIL BARU
Brothers yang ajar few tips dan tricks tu suruh tukar dari tali tangsi ke tali benang yang lebih kuat. Tali tangsi katanya cepat putus dan ikan-ikan air masin selalunya ganas jadi tak sesuai. Saiz mata kail pun kecil jadi kena tukar yang besar sikit.. Lepas majlis pernikahan dan kenduri belah pengantin perempuan, terus terjah kedai joran dan tukar apa patut. Aku cakap kat MamiZ, kalau nak aku teman lagi belikan aku joran sebatang walaupun aku tak reti memancing. Aku nak juga memancing kalau tak memang aku rasa nak mogok kebosanan. Tak perlu beli baru pun sebab ada banyak joran arwah Atok dalam store cuma kena baiki sikit touch up bagi feeling baru. All ready and set to go..
03 January 2021 (Ahad)
Trip kedua ke Kolam Pancing RM3 Jugra. Semangat kami berempat - kali ni pergi dengan orang lain pula (Aku, MamiZ, AcikB dan AbangH) pukul 08:30AM dah terpacak disana. Hujan renyai tak dihiraukan sebab matlamat kami jelas dan focus nak memancing. Gituuu.. Jangan risau kalau hujan pun sebab ada banyak pondok kecil dibina sesuai nak berteduh.
Jomlah kita pergi memancing..
Ikan Bulan !! My first ikan ever in history. Panic gila bila umpan mengena. First time memancing nak tarik ikan naik pun tak reti. Kelam kabut MamiZ tolong..
Kaci pertama dalam sejarah hidup. Tergeliat bahu sengal lepas bertarung nak tarik ikan naik atas. Masih terkial-kial nak handle joran.. Syukur tak terlepas.
Alhamdulillah !! Pengalaman pertama memancing yang manis.
AcikB pula dapat seekor lagi Kaci.
Kaci ketiga.. AbangH pula dapat.
Pindah ke kolam ikan siakap. Alhamdulillah rezeki dapat seekor siakap..
DAPAT IKAN BARU TIMBANG DAN BAYAR
Konsep ini pun aku suka - Dapat ikan baru timbang dan bayar ikut harga yang ditetapkan tapi kalau tak dapat tak adalah terkilan sangat sebab bayar pun RM3 kan.. Dah dapat ikan tak boleh lepaskan semula wajib ambil. Jadi kena decide betul-betul ikan apa yang kita nak pancing. Antara semua jenis ikan yang ada disana, aku paling suka Jenahak. Kalau dapat seekor pun jadilah dah puas hati tapi lama tunggu tak dapat juga. Sudahlah tu.. nanti kita cuba lagi. Sekilo ikan Kaci berharga RM35.00 dan RM17.00 untuk sekilo Siakap. Total untuk tiga ekor ikan Kaci dan seekor ikan Siakap adalah RM105.00 sekali dengan harga tolong bersihkan dan siang. Bagi aku harga sangat berbaloi dan murah. Plus, semua sangat fresh baru lepas dipancing. Ikan Bulan yang aku dapat adalah percuma, tak termasuk dalam senarai yang perlu ditimbang. Alhamdulillah rezeki !! Sebenarnya tak tahu pun ada wujud ikan Bulan.. Tibai sajalah..
Senyum sampai telinga masing-masing dengan hasil tangkapan. Untuk aku yang first time memancing, aku admit memancing rupanya sangat seronok !! Selama ni aku yang tak nak cuba jadi aku rasa memancing itu bosan. Dah happy teruja rasa excited perasaan dapat ikan, aku pula tak sabar nak tunggu our next trip pula. MamiZ masih tak puas hati sebab tak dapat ikan.. Belum ada rezeki nanti insyallah kita pergi lagi yaaa.. Sekarang ni masih belum selamat nak berjalan sakan jadi segala aktiviti agak terhad. Pergi mana-mana pun jangan lupa ikut SOP dan peraturan-peraturan yang dah ditetapkan oleh kerajaan. Jaga diri semua..
Apa aktiviti pertama korang di tahun baru ?
Meh share sikit..
SITI YANG MENAIP
sitiyangmenaip@gmail.com