Quantcast
Channel: SITI.YANG.MENAIP
Viewing all articles
Browse latest Browse all 579

Trip Perth 2018 : 1.0 Hello Perth (Kerete Sewa, Halal Charcoal Chicken Dianella & Comfort Hotel Perth City)

$
0
0
Aku dah share tips dan persediaan, budget dan itinerary dalam posts yang lepas. Sekarang nak cerita perjalanan ke Perth Western Australia selama sepuluh hari. Aku dan MamiZ nak ke New Zealand tapi tahun lepas banyak kali terbabas nak menabung, budget tak mencukupi. Neddy cadang ke Jepun, menarik tapi baru lepas ke Hokkaido dan Kansai. Mungkin kena tunggu setahun dua lagi untuk repeat kesana.. Kali ini kalau boleh tak nak pergi tempat sejuk, nak rasa pengalaman yang berbeza. Walaupun seronok main salji tapi sebenarnya penat usung beg berat bawa baju tebal sana sini. Nak merasa pakai casual attire pula. Kami bawa mak masing-masing, jadi pilihan destinasi kena mesra veterans. Not that our moms tak fit enough, tapi kita tahu kalau jalan naik turun train dan bas penatnya macam mana. Orang muda pun kadang-kadang pancit kena jalan banyak. Setelah berbincang dan ambil kira beberapa faktor penting seperti keselamatan, pengangkutan, tempat tinggal dan perbelanjaan, akhirnya kami bersetuju untuk ke Perth.


03 December 2018 Isnin

HELLO PERTH, KERETA SEWA, HALAL CHARCOAL CHICKEN DIANELLA DAN COMFORT HOTEL PERTH CITY | Hari pertama kami adalah hari perjalanan ke Perth Western Australia. Santai saja tiada aktiviti-aktiviti utama. Penerbangan dari KLIA2 pukul 09:30AM departed on time. Sampai di Perth International Airport pada pukul 03:00PM waktu tempatan. Ramai orang Melayu, rupanya waktu mendarat tiga penerbangan dari Air Asia X, Malindo dan Malaysia Airlines hampir sama. Walaupun ramai yang beratur di custom declaration, cepat juga urusan laju. Disapa mesra oleh pegawai, senyum saja siap ucap 'Welcome Back to Australia'. Rasa lega syukur tak ada masalah dengan ETA dan Passport. Pegawai tick (*) di sudut tepi Arrival Form aku. Tak terkejut, memang aku seorang saja yang buat declaration bawa makanan. Semua makanan kami letak dalam satu luggage dan akulah yang akan bawa luggage itu, jadi aku seorang saja yang declare. Kalau kena tahan untuk check, selalunya pemegang luggage saja yang akan disoal. Aku tahu isu nak bawa makanan masuk ke Australia ni memang antara yang paling memeningkan. Selalu dapat email tanya pasal makanan. Kita bawa bertenang. Ikut dan hormat undang-undang negara orang insyallah kita selamat.

TOLONG DECLARE SEMUA MAKANAN YANG DIBAWA

Sebelum mendarat, kita akan diberikan sekeping Arrival Form. Tak susah nak isi dan tolong isi Arrival Form siap-siap supaya tak kalut masa di kaunter kastam. Dalam Arrival Form inilah kena buat segala declaration sekiranya kita bawa barang-barang tertentu yang dilarang atau dipantau keras oleh kerajaan Australia. Bunyi menakutkan tapi janganlah risau. Itu pentingnya kita declare semua benda dalam senarai yang ada dalam Arrival Form. Jadi masalah kalau degil tak mahu mengaku bawa macam-macam, siap sedialah nak kena saman kalau kantoi. Jangan ingat yang tak declare (tapi secretly bawa makanan) akan lepas dan selamat walaupun Arrival Form tak ditanda apa-apa oleh pegawai kastam. Tiba mood swing pegawai kastam nak check passengers randomly, yang tak ada tanda pun boleh kena tahan. Jadi janganlah bebal sangat !! Tanda sajalah declare segala benda yang kita bawa. Aku rasa nervous, kami bawa makanan dari Malaysia penuh satu luggage. Kalau nak buat list makanan dan ingredients segala bagai tu semua lebih bagus, langkah berjaga-jaga. Aku tak buat sebab aku malas. Tawakal sajalah !! Dah declare kena ikut arahan seterusnya. Pengalaman aku di kawasan custom declaration berbeza-beza setiap kali ke Australia. Memang ikut nasib dan rezeki. Lepas urusan ETA dan Passport, pergi ambil luggage akan ada lagi screening. Ada seorang pegawai akan tunggu untuk asingkan kita sama ada terus exit ke Arrival Hall atau kena lalu laluan khas dulu. Usually yang ada tanda (*) akan kena screening lagi sekali dan diasingkan ke laluan lain sebelum boleh keluar. Hulur Arrival Form dan tunggu arahan. Kalau tak ada masalah boleh terus exit. Kadang-kadang walaupun tak ada masalah tapi kita dilihat mencurigakan pun kena tahan juga. Aku tengok ramai Malaysians kena tahan, aku pun dah ready kalau kena tahan sekali sebab memang declare bawa makanan. Rezeki kami that day, aku hulur Arrival Form, pegawai hanya tanya jenis-jenis makanan yang aku bawa - instant noodles, instant rice dan ubat-ubatan sikit. Ditanya ada bawa fresh fruits and vegetables atau tidak.. Tak. Dia tanya ubat-ubat apa aku bawa.. Aku cakap normal medicines macam Paracetamol, ubat demam dan supplements. Dia senyum saja angguk-angguk - You may go !! Tak perlu ke kaunter khas nak buka luggage bagai. Alhamdulillah.


Itu pengalaman paling senang yang pernah aku berdepan di Australia bila bawa makanan. Sekali aku pernah lepas dengan mudah di Sydney sebab memang tak bawa makanan langsung. Aku pernah ditahan untuk screening khas dengan anjing polis di Melbourne. Orang cakap menakutkan. Bila lalui sendiri, tak adalah seram sangat. Kita disuruh berdiri jauh dari luggage bila anjing polis datang hidu luggage. Diorang pun faham orang-orang Islam tak selesa dengan anjing. Dijelaskan lebih awal apa yang dilakukan adalah procedures negara Australia jadi semua kena hormat. Di Perth pun ada juga ya anjing-anjing polis. Kalau anjing polis hidu luggage kita lama-lama itu jadi masalah, memang kena buka luggage. Kalau dia hidu terus pergi tak ada sangkut apa-apa. Sekali di Perth, aku kena buka semua luggage termasuk luggage pakaian walaupun dah asingkan pakaian dan makanan. Dia nak tengok semua, buka sajalah biar dia belek sendiri. Jadi memang ikut rezeki masing-masing. Doa banyak-banyak semoga semua urusan jadi mudah. Kita pergi sana nak tengok alam jadi jangan takut.

BELI SIMCARD YES OPTUS ATAU VODAFON DI ARRIVAL HALL

Dah selesai urusan dan keluar ke Arrival Hall, kita beli simcard pula. Nak beli simcard atau sewa portable wifi dari Malaysia ? Untuk ke Australia, aku cadangkan beli simcard. Lebih mudah dan jimat berbanding portable wifi. Keluar ke Arrival Hall terus nampak kedai YES Optus dan hujung sikit ada Vodafon. Selama ni aku pakai YES Optus, service sangat memuaskan. Ada yang kata coverage tak elok, tapi so far tiada masalah. Hanya 2AUD sehari dan dibekalkan dengan 500MB data. More than enough untuk kegunaan seharian nak buka Whatsapp, layan Instagram atau guna GPS. Kali ini nak cari kelainan, aku tempah simcard Vodafon online yang tengah sale. Simcard akan dihantar terus ke hotel yang kita menginap, tak boleh claim di kaunter Vodafon di airport. Menurut tracking, patut elok sampai dah waktu aku check-in ke hotel. Sementara nak dapat simcard, aku on data roaming percuma untuk sehari pada pengguna Celcom. Sadly, sampai hotel receptionist kata parcel tak sampai agi. Angin jugalah sebab esok dah nak check-out dan gerak ke Albany. Balik dari road trip baru dapat singgah semula untuk ambil parcel. Sabar sajalah.. Terpaksa on roaming beli data untuk seminggu terus. Redha sajalah kena bayar mahal. Bukan tak boleh nak cari mana-mana kedai yang jual simcard tapi aku malas. Buang masa dan kacau perancangan itinerary yang dirancang. Jadi peringatan ya !! Tak payah nak beli simcard secara online sangat walaupun murah, elok sampai airport terus beli.

SOLAT DI PRAYER ROOM PERTH INTERNATIONAL AIRPORT

Di Perth International Airport ada Prayer Room untuk kita solat di Arrival Hall, bersebelahan dengan kaunter-kaunter kereta sewa. Bercampur lelaki dan perempuan tak ada separate area. Kalau perempuan solat, lelaki akan tunggu dan vice versa. Tempat wuduk pun ada cuma telekung tak disediakan. Cuma aku nak pesan, lepas solat tak perlu melepak bersembang dalam Prayer Room. Lebih-lebih lagi waktu peak hour ramai nak solat. Selesai solat sila keluar cepat bagi orang lain pula guna. Kalau perempuan nak solat mesti tak selesa ada ramai lelaki tengah duduk dalam bilik tu. Kecewa sangat bila ada yang ignore orang tengah solat dan bersembang sakan dengan suara kuat. Dalam Prayer Room sangatlah nak discuss itinerary dan perjalanan. Boleh discuss diluar ada kerusi selesa lagi nak duduk. Consider orang lain sama dan tolong kawal anak masing-masing jangan buat bising dan berlari sana sini. Nature budak-budak memang semua orang faham macam mana, tapi kena ditegur diajar untuk hormat orang tengah solat. Bukan juga tempat untuk tukar diapers anak-anak. Tak kena gaya dan malu sangat bila nampak ada orang Melayu kalut mandikan anak-anak dan basuh segala benda kat tempat wuduk. Janganlah macam tu.. Orang dah sediakan kemudahan kita guna sebaik mungkin. Jaga nama baik negara kita, the least mungkin yang kita boleh lakukan. Semoga ada perubahan, sama-sama kita usaha.

KERETA SEWA MURAH DI PERTH DARI NO BIRDS BAYSWATER

Aku compare rate kereta sewa dari company lain tapi rate No Birds Bayswater adalah yang termurah untuk sepuluh hari. Kalau tak mahu sewa dari No Birds Bayswater pun tak jadi masalah, ada banyak companies kereta sewa di Perth International Airport. Nak walk-in sewa kereta terus pun boleh tapi dinasihatkan, buatlah online booking lebih awal. Kereta-kereta pula subject to availability. Terkejut tergempar nanti tak ada kereta pula. Make sure sewa dari company yang bertauliah. Jangan sewa dari ulat-ulat kereta sewa. No Birds Bayswater tiada kaunter di Perth International Airport tapi diorang sediakan perkhidmatan pick-up service berbayar untuk bawa customers ke the nearest office di Kewdale. Dah selesai semua urusan di airport baru call beritahu kita dah ready. Semua booking dilakukan secara online dan tak ada bayaran akan dikenakan. Sampai sana nak ambil kereta baru bayaran dilakukan. Tunggu di luar kawasan Arrival Hall dalam sepuluh minit saja dah sampai van shuttle.

Van shuttle airport transfer dah sampai.



Urusan di office No Birds Bayswater mudah tak pening kepala. Lesen memandu Malaysia valid disana jadi tak perlu susah payah apply International Driving License. Dulu bayaran hanya boleh dibuat menggunakan Credit Card, tapi sekarang menggunakan Debit Card pun boleh. Tolong activate Debit Card untuk penggunaan luar negara, baru potongan duit boleh dilakukan. Kalau tak sia-sia saja usung kad sana sini. Kami dapat kereta Toyoto Corolla Hatchback, tak pasti kereta baru atau lama. Good condition bersih dan sedap dipandu. Aku akan ambil gambar setiap sudut dan lekuk kereta kalau dari awal memang ada dented areas. Takut nanti dituduh kita pula yang langgar entah apa-apa. Tapi dua kali berurusan dengan No Birds, tak ada masalah. Sangat smooth. Untuk sepuluh hari, kami dikenakan bayaran sebanyak 398.00AUD (RM1229.82 approx).  Harga termasuk additional seorang lagi driver, top cover dan unlimited mileage. Aku tak sewa GPS sebab dah roaming dan semua tempat nak pergi boleh guna Google Maps. Kalau takut tiada coverage, guna maps secara offline. Kita dapat kereta sewa dengan tangki minyak yang penuh. Bila nak pulangkan kereta, wajib isi penuh semula. Kalau tak penuh, nanti diorang akan potong duit dari Credit Card atau Debit Card kita. Mari mulakan pengembaraan sepuluh hari di Perth dan sekitar Western Australia. Kita pergi makan malam dan check-in hotel dulu yaaa.. Rehat cukup-cukup untuk perjalanan jauh beberapa hari nak road trip.


MAKAN MALAM DI HALAL CHARCOAL CHICKEN DIANELLA PERTH

Pergi ke Perth wajib singgah makan di Charcoal Chicken Dianella. Tak lengkap trip ke Perth kalau tak cuba ayam atau lamb ribs disini. Lamb ribs disini sedap tapi ditekak aku ayamnya rasa biasa saja. Portion yang banyak, satu hidangan boleh kongsi dua orang. That night, kami habis 35AUD (RM108.15 approx) untuk empat orang makan. Ambil dua set nasi quarter chicken dengan satu side dish dan dua set quarter chicken dengan fries. Side dishes sedap-sedap juga, ada egg salad, seafood salad, mac and cheese dan few others. Nak ambil asing-asing pun boleh. Jangan convert  !! Pejam mata saja dan bayar. Kalau asyik convert to RM nanti jadi tak lalu nak makan. Redha saja harga makanan di Perth dan Australia memang begitu.

Hidangan bernilai 32AUD (RM108.15 approx) bersama tiga botol air.

Satu set nasi quarter chicken dan satu side dish. Kongsi berdua.

Kenyang sangat walaupun kongsi. Nak habiskan rasa seksa penuh perut. Terpaksa tapau fries sebab banyak lebih. Korang jangan datang lewat sangat, tengah hari or around pukul 5.00-6.00PM just nice nak pergi makan disana. Kalau lambat sangat takut lamb ribs habis. Memang laku keras ramai yang beratur nak beli. Kedainya pula kecil saja bukanlah restaurant besar. Agak sempit limited space nak duduk tapi ada  tempat makan disediakan jangan risau. Lepas makan kami singgah Coles sekejap, belakang Charcoal Chicken saja. Saja jalan-jalan cuci mata beli snacks sikit buat bekalan untuk jalan jauh. Air paip di sana katanya selamat untuk diminum terus tapi MamiZ tak nak, nak air mineral juga dah terbiasa minum jadi kenalah beli. Rupanya AcikE pun tak nak minum air paip walaupun dah dimasak. Okay settle !! Kita semua minum air mineral. Memang dah asingkan duit untuk groceries jadi guna duit itulah nak beli barang-barang dapur.

CHECK-IN COMFORT PERTH CITY HOTEL

Untuk hari pertama, kami tidur di Comfort Perth City Hotel. Transit satu malam sebelum gerak ke selatan Western Australia. Hanya RM273.72 sebilik untuk empat orang melalui Agoda. Hotel terletak di tepi jalan utama dan sepanjang jalan ada tempat parking. Cuma, siang hari memang kena bayar tapi lepas pukul 08:00PM free. Boleh parking percuma sehingga pukul 08:00AM esok hari. Kami sampai memang dah malam lebih kurang pukul 08:15PM, tak perlu risau bayar parking. Yang tak memandu, hotel ni sesuai sebab kedudukan yang strategik tengah bandar. Staff hotel sangat baik dan membantu. Parcel dari Vodafon yang sepatutnya dah sampai memang tak nampak bayang. Nak buat macam mana.. Terpaksalah minta tolong staff hotel simpankan dulu simcard Vodafon sampai aku balik semula ke Perth nanti. Bilik besar katil selesa dan memuaskan. Sampai hotel, tengah kemas barang baru aku sedar rupanya camera Sony FDR-X3000 aku tak ada dalam beg sandang. Jenuh selongkar cari memang tak ada. Aku cuba ingat mana last guna tapi langsung tak ingat. Aku keluarkan dua kali, sekali dalam flight dan sekali lagi masa tunggu airport shuttle. Kemungkinan tertinggal dalam van. Dah call No Birds, diorang pun dah tolong cari tapi tak ada. Memang teruji betul emosi bila camera kesayangan hilang. Mesti jatuh tercicir. Marah diri sendiri sebab cuai. Lagi terasa sebab camera tu beli dengan duit tabung sendiri. Memang terkilan sangat. Satu benda yang aku syukur, aku dah transfer semua gambar-gambar lama dan belum banyak gambar yang diambil untuk trip kali ini. Kalau tak memang bertambah terkilan dengan gambar-gambar sekali hilang. Haaaih !! Sabarlah hati.

Enough sedih !! That night kami tidur awal supaya esok pagi rasa fresh dan bertenaga nak jalan jauh. Masak nasi siap-siap untuk bekalan lunch. Layan Netflix sampai mengantuk. Selamat malam..

SITI YANG MENAIP
sitiyangmenaip@gmail.com

Viewing all articles
Browse latest Browse all 579